Ucapan Ramadhan 1432 Oleh Pengerusi

4 08 2011

Assalamualaikum warah matullah hi waba rokatuh

Kita bersyukur kepada Allah bilamana ramadhan menjelang menandakan doa kita dalam ramadhan yang lepas telah dimakbulkan oleh Allah iaitu kita memohon untuk diberi umur bertemu ramadhan yang akan datang. Ramadhan datang membawa segala keberkatan yang membuktikan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah swt kepada hamba-hambaNya. Amat rugilah jika kita tidak mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya. Ramadhan datang mengajar kita suatu pengajaran yang besar iaitu berjihad dengan hawa nafsu bagi mencapai matlamat taqwa.

Apa yang pasti makan dan minum yang halal dibulan lain, tetapi diharamkan dibulan ramadhan. Islam tidak ‘menyeksa’ umatnya tetapi latihan berjihad amat penting demi mencapai kemenangan melawan hawa nafsu, kemenangan melawan syaitan, kemenangan melawan musuh Islam dari kalangan manusia dan mencapai kemenangan didunia dan akhirat.

Sejarah membuktikan bahawa Perang Badar dan Perang Khandaq berlaku dalam bulan ramadhan. Kenapa Allah mentaqdirkan berlaku dibulan ramadhan sedangkan secara logic akal umat Islam sedang berpuasa?

Dalam peperangan Badar umat Islam berjumlah 313 sedangkan kaum musyirikin berjumlah 1000 orang dengan segala kelengkapan senjata yang lengkap. Tetapi umat Islam Berjaya melepasi segala halangan ini dan memenangi peperangan ini dimana 70 orang kafir musyrik dibunuh dan 70orang ditawan. Begitu juga dalam peperangan khandaq dimana umat Islam terpaksa menggali parit dalam keadaan lapar dan dahaga bagi menghalang ketumbukan tentera bersekutu seramai 10 000 orang!. Mereka menggali parit siang dan malam dengan keadaan musuh sedang bergerak menuju Madinah. Musuh sampai dalam keadaan umat Islam baru sahaja selesai menggali parit. Alhamdulillah musuh tidak Berjaya menembusi pertahanan kaum muslimim dan akhirnya Allah menurunkan hujan pasir yang memecahkan banteng kaum musyrikin dan mereka berundur meninggalkan madinah.

Hikmah kepada 2 peristiwa ini adalah Allah ingin membentangkan kepada kita kekuatan dalaman (iman) yang diperolehi oleh orang2 yang berpuasa mampu mengatasi segala cabaran yang hebat seperti serangan musuh Islam. Dengan hikmah yang sama kita diwajibkan berpuasa dibulan ini bagi membina jiwa dan iman yang kental untuk menghadapi musuh luar dan dalaman yang sentiasa menghalang dan menggoda manusia untuk ingkar kepada perintah Allah dan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Marilah kita jadikan ramadhan pada tahun ini untuk kita memperbaiki segala amalan kita dengan sama-sama bersolat berjemaah di Surau Al-Muttaqin dan menjayakan semua program yang telah dirancang sepanjang bulan yang mulia ini.

Saya berpesan kepada diri saya untuk melakukan perkara-perkara berikut di bulan Ramadhan seperti mana saranan Nabi saw

1. Bersolat Berjemaah di Masjid/Surau Rasulullah saw bersabda :

“Berikan khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan menuju masjid di kegelapan dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat kelak.” (HR Tirmizi dan Abu Dawud)

2. Membaca Al-Quran

Di bulan Ramadhan, Rasulullah saw memerintahkan untuk memperbanyakkan qira’at al-Qur’an atau membaca Al-Quran kerana bulan ini adalah bulan Al-Qur’an.

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). (QS Al-Baqarah : 185)

Selama bulan Ramadhan ini, hedaklah setiap muslim berusaha untuk mengkhatamkan Al- Qur’an meskipun hanya sekali. Tentu sahaja membaca di sini bukan sekadar membaca tetapi bacaan yang disertai dengan tafakkur dan tadabbur.

a. Al-Qur’an bagi seorang mukmin adalah panduan hidup.

b. Al-Qur’an juga penawar hati dari segala penyakit jiwa.

Oleh itu membaca Al-Qur’an yang disertai dengan tadabbur akan membuatkan jiwa kita semakin hidup.

3. Memperbanyakan sedekah

Di bulan Ramadhan, Rasulullah saw memberikan contoh tauladan untuk memperbanyakkan sedekah. Sedekah adalah sebuah amal yang menjanjikan pahala yang sangat besar.

Allah swt berfirman;

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui. (QS Al-Baqarah : 261)

Dengan sedekah ini, maka akan terciptalah silaturrahim dan akan diperolehi makna ‘ukhuwwah fillah’ serta akan terjaga persatuan kaum muslimin.

Sekian wassalam

Selamat menghidupkan Ramadhan
Dr. Md Roslan Hashim
Pengerusi Surau





Perutusan Pengerusi 1432h/2011

31 12 2010

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokaatuh.

Lazimnya kedatangan tahun baru disambut dengan rasa gembira dengan azam dan pengharapan yang baru. Kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya dari segi fizikal dan spiritual. Alhamdulillah begitu jugalah yang diharapkan oleh AJK Surau Al_Muttaqin Bandar Putra Bertam. Perasaan yang sama kita perpanjangkan kepada semua penduduk Taman Bertam Putra khususnya dan seluruh umat Islam amnya tak kita dimana mereka berada. Hakikat bahawa umur kita diperpanjangkan oleh Allah setahun lagi menuntut supaya kita sentiasa bersyukur kerana dapat kita terus menambah kebaikan menuruti segala perintah Allah dan rasulNya.

Setahun berlalu, ada kenalan malah saudara kita telah pergi menemui Allah di alam barzakh. Yang pasti kita akan menyusul mereka-mereka ini. Cumanya masanya belum lagi sampai. Saat kematian kita yang pasti berlaku sengaja dirahsiakan oleh Allah supaya menjadi ujian kepada setiap hambaNya.. seperti mana firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat2: Dialah Allah yang menciptakan kematian dan kehidupan supaya menjadi ujian di kalangan para hambaNya siapakan yang paling baik amalnya.

Menyedari hakikat ini tidak ada tempat lain yang lebih baik daripada institusi surau atau masjid yang boleh dijadikan tempat untuk kita mencari keredaan Allah melalui program-program perdana termasuk kuliah, ceramah, hari keluarga dan tidak lupa solat berjemaah sehari semalam 5 waktu. Inilah tempat kita menghubungkan silaturrahim dan mempertautkan kasih saying dibawah kalimah suci, Innamal mukminu na ikhwah: Sesungguhnya setiap muslim itu bersaudara. Lantas jika kalimah ini difahami dan dipraktikan, maka dengan mudah kita menjalani ujian daripada Allah s.w.t. seperti saranan Allah dalam ayat Al-Mulk tadi.

Menguruskan sesebuah surau bukanlah perkara mudah. Ini kerana dibahu para AJK tergalas beban yang besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Jawatan yang dipegang bukan tempat mencari populariti tetapi bagaimanakah kita mengurus tadbir dengan baik supaya ianya menjadi tempat segala aktiviti masyarakat Islam. Sebab itu pihak AJK telah bersama-sama dengan ahli qariah menjalankan beberapa program berimpak tinggi dan sederhana juga biasa bagi mengimarahkan surau. Ingatlah surau akan ‘mati’ jika tiada orang bersolat dan berprogram di dalamnya. Mudah kata mentadbir surau atau masjid laksana membuka gedung perniagaan. Lebih ramai orang ke gedung kita maka lebih majulah perniagaan kita. Begitu juga surau atau masjid, lebih ramai orang bersolat dan berprogram di dalamnya maka lebih imarahlah surau itu. Usahlah kita mengherdik orang hatta kanak-kanak yang bising. Hakikatnya bahawa mereka dapat datang kesurau merupakan suatu kejayaan surau. Lantas AJK surau mengambil pendekatan ‘melayani’ kesemua ‘pelanggan’ kita dari bayi, kanak-kanak hingga orang dewasa termasuk kaum ibu.

Kita juga mengamalkan pendekatan menyediakan ruang solat 24jam sehari semalam. Walaupun hakikatnya pintu ditutup dimasa-masa tertentu, kita menyediakan ruang solat dibalai lintang untuk musafir yang singgah di luar waktu solat. Kita juga sentiasa mengalu-alukan segenap lapisan masyarakat untuk menggunakan surau dalam apa juga aktiviti yang tidak dilarang syarak demi kebaikan dan semua.

InsyaAllah penghujung tahun 2010 dan awal 2011, kita dalam peringkat terakhir untuk mendapatkan kelulusan dari pejabat Mufti dan Pejabat Agama Pulau Pinang untuk dibenarkan surau kita dijadikan tempat bersolat Jumaat. Ini memandangkan keperluan-keperluan yang mendesak dari anak qariah yang perihatin tentang ibadat solat Jumaat terutamanya warga yang bermastautin dan juga anak-anak remaja yang terpaksa keluar dari taman untuk ke masjid-masjid yang berdekatan. Faktor keselamatan warga taman yang mempunyai kependudukan kurang lebih 2000 rumah, serta keselesaan menyebabkan kita memohon untuk menggunakan surau al-muttaqin sebagai tempat bersolat jumaat. Walaupun tidak kesemua warga taman bersolat jumaat disurau kita, namun 10% dari jumlah keseluruhan penduduk adalah perangkaan yang realistik bagi menyediakan kemudahan bersolat jumaat.

Apa yang pentingnya ialah bagaimana kita dapat jadikan surau sebagai suatu institusi keilmuan kepada umat Islam. Ini kerana ilmulah merupakan jalan utama kita mengenali Allah, Rasul dan hakikat kejadian manusia dan segalanya di alam mayapada ini. Sabda Rasul: Jika kamu hendakkan dunia, carilah ilmu. Jika kamu hendakkan akhirat carilah ilmu.Jika kamu berkehendakkan kedua-duanya maka carilah ilmu. Begitulah kepentingan ilmu dalam Islam. Maka saya dengan rendah diri mengajak diri saya, seluruh AJK surau dan penduduk Taman Putra Bertam untuk sama-sama menjayakan segala aktiviti yang dijalankan. Yang terpenting sekali adalah solat berjemaah yang merupakan sumber kekuatan umat Islam dalam mendepani ujian dan cabaran dari Allah seperti yang difirmankanNya dalam surah Al-Mulk. Tambahan dari itu, program-program kuliah perdana, bulanan dan mingguan dapat mempertingkatkan ilmu kita terhadap Islam dan hakikat penciptaan manusia dan alam oleh Maha Pencipta Allah s.w.t.

Saya berdoa kepada ALLah moga diampunkan dosa kita semua. Dan secara khusus memohon ampun dari semua anak qariah jika sepanjang pengurusan AJK surau sepanjang tahun lepas terdapat banyak kekurangan. Kami juga mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang turut hadir menjayakan setiap program yang kita jalankan sepanjang tahun 2010. Kami juga menyeru supaya kita sama-sama mengajak rakan dan taulan yang lain supaya sama-sama menunaikan solat berjemaah demi mendapat manfaat yang maksimum dari amalan solat dan lebih penting lagi ganjaran besar daripada Allah s.w.t. Tidak lupa juga kepada semua AJK yang telah dilantik yang telah menjalankan tanggungjwab dengan penuh dedikasi tanpa mengharapan sebarang balasan kecuali dari Allah s.w.t

Moga Allah merahmati kita semua dan memperteguhkan hati-hati kita semua diatas jalanNya.. Ameen.

Dr. Md Roslan Hashim





Perutusan Maal Hijrah Pengerusi

18 12 2009

Assalamualaikum

Hari Jumaat ini bersamaan 18hb Disember 2009 merupakan tarikh istimewa yang dinantikan oleh orang mukmin iaitu kedatangan awal muharam, hari pertama tahun baru dalam Islam 1 Muharram, 1431 Hijrah.

Bilamana tarikh ini disebut kita tidak dapat lari dari mengingatkan peristiwa hijrah rasul s.a.w. kerana dari tarikh itulah diambil sempena tahun hijrah oleh para sahabat setelah kewafatan baginda sebagai tarikh permulaan kalendar Islam. Rasullullah berhijrah dari kota mekah ke madinah setelah 13tahun berdakwah dikota mekah dengan pahit jerih berhadapan dengan tekanan dan tipu muslihat kaum kafir quraish yang menyiksa, memboikot dan membunuh para sahabat baginda. Namun ramai yang tidak menyedari bahawa mesej hijrah telah bermula sejak baginda dilantik menjadi rasul oleh Allah s.w.t. Kalimah agung yang mengajak manusia berhijrah termaktub di dalam kalimah La ila ha i’l lallah.. yang membawa maksud tiada ketuhanan, tiada ketundukan, tiada penyembahan, tiada kehidupan ini melainkan kepada Allah s.w.t. Kalimah yang ringkas tetapi penuh bermakna.

Malangnya ramai antara kita yang tidak memahami intipati kalimah ini. Sejarah membuktikan bahawa kaum kafir quraish adalah kelompok manusia pertama yang memahami kalimah ini dengan sebenar-benarnya lantaran al-quran yang diturunkan dalam bahasa ibunda mereka, lantas mereka terpecah kepada dua golongan. Golongan pertama adalah golongan yang faham intipati kalimah ini dan memeluk agama Islam dan berjuang bersama-sama dengan nabi s.a.w. Golongan kedua juga faham tetapi mereka menentang sekeras-kerasnya hatta kepada merancang pembunuhan baginda s.a.w.

Adalah sesuatu yang menarik dikaji kenapa golongan kedua ini yang terdiri daripada Abu Jahal, Abu Lahab dan kelompok mereka begitu memusuhi nabi s.a.w. sedangkan sebelum ini manusia yang bernama Muhammad ini telah digelar oleh mereka sebagai al-amin yakni seseorang yang sangat dipercayai. Tetapi bilamana mereka mengetahui bahawa Muhammad s.a.w membawa mesej La ila ha i’l lallah, golongan yang samalah yang mengishtiharkan perang dan permusuhan yang nyata kepada Nabi s.a.w dan keluarga baginda.

Dr. Abdul Majid Aziz Az-Zindani membahaskan kalimah ini sebagai bermaksud seperti apa yang dinyatakan di atas. Ini bermaksud mesej hijrah ialah meninggalkan perkara-perkara yang tidak selaras dengan tuntutan Allah dan mengikut apa yang dituntut oleh Allah. Dalam erti kata lain meninggalkan apa yang ditegah dan melakukan apa yang disuruh. Kaum kafir quraish tidak dapat menerima hakikat ini kerana ini bermaksud mereka mungkin akan kehilangan pengaruh, kehilangan kekayaan dan yang lebih penting tidak dapat meneruskan cara hidup mereka ketika itu. Mereka sembah berhala, meminum arak, mereka membunuh anak2 perempuan mereka lantaran malu, mereka mengamalkan perhambaan ke atas manusia dan sebagainya. Mana mungkin mereka melepaskan segala keseronokan ini lantaran mengikut ajaran seorang manusia bernama Muhammad.

Ini bermakna hijrah boleh dilihat berlaku dalam dua fasa. Fasa pertama selama 13tahun di Mekah dan fasa kedua di Madinah yang memakan masa 10tahun. Ramai orang Islam gagal melihat bahawa fasa hijrah yang pertama adalah merupakan hijrah yang penting yang berlaku dari set minda yang digariskan oleh Allah s.w.t dan dilaksanakan oleh pesuruhnya Nabi s.a.w. Dalam fasa inilah ditanam kefahaman tentang aqidah dan keimanan kepada Allah yang Esa dan bahawasanya segala pemikiran dan tindakan yang lahir selepas itu mestilah merujuk kepada ketundukan terhadap kekuasaan dan keagungan Allah semata-mata.

Sehubungan dengan hijrah ini, telah lahir satu hadis dari baginda s.a.w. yang mahsyur iaitu yang dinukilkan dalam Hadith 1, himpunan Hadith 40 Iman An-Nawawi, yang diriwayatkan oleh Saidina Umar Al-Khattab iaitu aku pernah mendengar daripada Rasulullah s.a.w: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang yang dia diniatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang mahu dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Hadith yang mahsyur ini mengingatkan kita bahwa hijrah dalam makna yang sebenar tidak berlaku jika minda kita tidak menuju kepada Allah dan Rasul.

Dalam konteks yang luas, kita lihat manusia telah mengakui ingin berubah menjadi baik, tetapi hakikatnya mereka masih ditakok lama. Zaman telah moden dengan segala kecanggihan teknologi, tetapi jiwa manusia masih kosong. Ini kerana ‘penghijrahan’ dalam bentuk kemodenan adalah penghijrahan  kosong kerana tidak datang bersama set minda yang betul iaitu untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Sebab itulah kita sedang menyaksikan segala kepincangan yang ada dalam masyarakat dewasa ini. Dari konteks global di peringkat antarabangsa hinggalah kepada masyarakat setempat diceruk rantau serta kampung. Bila jiwa kosong lantaran gagal memahami mesej besar kalimah La ila ha i’l lallah, kita lihat masyarakat berantakan. Manusia menjadi hamba harta. Mereka sanggup menindas orang lain demi membolot harta secara haram. Rasuah berleluasa. Manusia menjadi hamba nafsu. Masalah sosial remaja, orang dewasa bermula dari peringkat bawah hinggalah kepada kepimpinan masyarakat. Begitu juga pencemaran alam sekitar yang dilakukan diperingkat global hinggalah kepada kilang2 syarikat antarabangsa di sekeliling kita. Toksid2 dan gas serta asap beracun dilepaskan untuk dihidu dan dihirup oleh anggota masyarakat setempat oleh kilang2 yang wujud diatas nama meyediakan peluang pekerjaan untuk mencapai kemajuan.

Media masa yang saban ketika menyiarkan siaran yang tidak membina kecerdikan masyarakat sebaliknya berlandas hiburan yang membawa masyarakat kelembah yang kehinaan. Idola-idola baru dari selebriti hiburan dan sukan diwujudkan seolah-seolah tuhan tuhan baru yang disembah semasa zaman jahilah dahulu.

Tambahan lagi tahun baru hijrah kali ini jatuh berdekatan dengan kedatangan tahun baru masehi 2010. Data kajian dari suatu NGO menunjukkan kadar kelahiran bayi luar nikah bertambah mendadak selepas 9 bulan berlakunya sesuatu sambutan di negara kita ini termasuk tahun baru masihi.

Diperingkat global menunjukkan bahwa negara yang digelar sebagai negara termaju di dunia iaitu Amerika Syarikat merupakan negara yang paling tinggi merosakan alam sekitar. Dengan penduduk hanya 400juta mereka menyumbang kepada 37% penghasilan gas yang menyebabkan pemanasan global. Bandingkan ini dengan negara China yang menyumbang 20% kepada pemanasan global, tetapi rakyat mereka 3 kali ganda rakyat Amerika iaitu 1.3 billion. Akibat pemanasan global, ais dikutb utara dan selatan mencair, lantas 18 pulau sudah tenggelam, 2,000 pulau sedang terancam.!!

Apapun hakikat semasa, umat Islam mempunyai tugas yang berat lantaran kita beriman kepada satu agama dari Allah yang membawa mesej rahmatan lil alamin. Senario yang berlaku menunjukkan bahwa kita tidak boleh mengharap kepada golongan bukan Islam kerana mereka tiada kekuatan dalaman untuk membawa pembaikan kepada dunia. Ini kerana mereka mengejar tuhan2 palsu yang pasti membawa kehancuran.

Lantas, dengan semangat hijrah sempena tahun baru Islam ini marilah kita sama2 kita menghayatinya dan melaksanakannya dalam kehidupan kita. Tanyalah diri kita apakah kita telah melakukan hijrah secara total kepada Allah s.w.t berdasarkan kalimah La ila ha i’l lallah?.
Apakah kita masih termasuk daripada golongan yang mengucapkan ungkapan ini dan melaksanakan separuh hati atau tidak mahu melaksanakannya langsung?.
Apakah kita masih tergolong dari golongan yang faham kalimah ini tetapi masih meninggalkan solat.?
Apakah kita yang mencari nafkah kepada anak isteri tetapi dari hasil wang yang haram seperti riba dan judi.?
Apakah kita termasuk orang2 yang berniaga mencari rezeki halal tetapi tak sempat bersolat lima waktu sehari?

Tepuk dada tanyalah iman…

Saya mengambil kesempatan ini mendoakan moga2 kita sama2 dapat menghayati kalimah hijrah dalam erti kata yang sebenar seperti yang telah ditunjukkan oleh Nabi junjungan besar s.a.w.

Saya selaku pengerusi Surau Al-Muttaqin mewakili AJK yang dilantik memohon kemaafan jika terdapat kesilapan sepanjang pentadbiran kami. Apapun sepanjang tahun hijriah 1430 yang lepas kita telah mengadakan beberapa program berimpak besar seperti menjemput penceramah antara lain Tuan Haji Ayub (Bekas Paderi), Saiful Islam, Ustaz Zamri (Mari Mengaji TV9), Br Lim Jooi Soon sekadar menyebut beberapa nama. InsyaALlah sebagai program awal hijrah kita telah menjemput Dato Hassan Din Al-Hafiz dalam kuliah perdana menyambut maal hijrah 1431H. Moga2 tuan/puan dapat menyertai program ini.

Disamping ceramah perdana kita juga telah merancakan program pengisian dengan menjemput Uztaz Syazali Al-Yemeni untuk kuliah dwi-mingguan dan Uztaz Zharafi Abas untuk kuliah bulanan. Ustaz Syazali menghidangkan seerah nabawiyah manakala Uztaz Sharafi menghidangkan tafseer Al-Quran. Selain ceramah kita juga telah berjaya mengadakan beberapa program lain seperti gotong royong membersihkan surau kita serta sembelihan qurban. Apapun semua ini tidak akan berjaya jika tiada sokongan dari tuan/puan.

Apapun paling menggembirakan kami sebagai AJK adalah dengan projek membina tembok pagar surau serta pembinaan setor penyimpanan yang disumbangkan oleh Jabatan Agama Islam yang difahamkan berjumlah puluhan ribu ringgit. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak berkenaan. Tidak lupa juga kepada Kelab Rukun Tetangga Seksyen 6 dan 5 yang bertungkus lumus sehingga jauh malam menyiapkan tambahan ruang legar balai lintang surau yang menyambung dengan tangga hadapan. Tidak lupa juga kepada penyumbang wang ringgit. Saya terharu dengan sumbangan tenaga, masa dan wang yang telah dicurahkan demi memastikan surau kita indah dari fizikalnya, moga2 indah juga dari pengisiannya, InsyaALlah.

Perlu disebutkan juga bahawa para penderma yang baik hati yang sentiasa menyumbang dalam keadaan senyap, tanpa diketahui dari mana datangnya. Mereka menyumbang kipas angin, sejadah, pembesar suara, membayar bil api dan air bulanan.

Tidak lupa juga rakan2 peniaga Islam disekitar taman bandar putra bertam yang sentiasa perihatin menaja beberapa projek seperti jamuan sepanjang bulan ramadhan. Kita mendoakan sumbangan ikhlas tuan/puan akan diberi ganjaran tak putus-putus oleh Allah s.w.t di akhirat nanti.

Sekian wassalamualaikum warah matullah hi wa barokaa tuh.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1431!!

Dr. Md Roslan Hashim
Pengerusi Surau Al-Muttaqin





Perutusan Pengerusi Sempena Ramadhan

19 08 2009

DrRoslanAssalamualaikum,

Kedatangan Ramadhan Al-Mubaraq adalah sesuatu yang sangat-sangat kita nantikan sesuai dengan sifat seorang mukmin. Saya mengambil kesempatan ini ingin melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah swt kerana dengan izinNya dapat kita menyambut kedatangan bulan mulia ini insyaAllah.

Sebelum saya teruskan coretan tentang kedatangan ramadhan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha-usaha mengimarahkan surau kita sejak dari dulu hingga kini. Yang terkini ialah rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada penyumbang-penyumbang kipas yang pemurah yang memungkinkan kita mendapat kipas tambahan untuk keselesaan para jemaah. Untuk pengetahuan para penyumbang semua kipas telah siap dipasang dan berfungsi sepenuhnya. InsyaALlah kami pihak surau mendoakan keberkatan rezeki oleh Allah swt kepada semua penyumbang. Kedua adalah kepada para jemaah yang hadir pada Ahad lepas untuk usaha gotong-royong membersihkan dan mengecat serta membaik pulih bahagian surau. Hanya Allah yang layak membalas segala usaha tuan-tuan. Ketiga adalah kepada pihak KRT Sekyen 6 yang sama-sama berganding bahu membantu masakan yang diadakan pada hari gotong royong tersebut. Sekali lagi saya berbangga dengan semangat kerjasama tuan-tuan. Akhir sekali kepada beberapa pelajar UiTM Permatang Pauh yang turut serta dalam program gotong-royong tersebut.

Berbalik kepada ramadhan seperti yang kita sedia maklum ianya adalah bulan pengorbanan dimana pahala berlipat kali ganda dijanjikan oleh Allah kepada mukmin. Ini termasuk semua amalan sunat yang diberi ganjaran pahala menyamai amalan fardhu. Tidak lupa juga amalan bersedeqah yang dituntut Islam, malah Nabi saw menjadi seorang yang lebih pemurah terutama dibulan ramadhan. Oleh itu saya sekali lagi mengambil kesempatan ini mengajak semua kaum muslimin dan muslimat menghidupkan ramadhan di surau kita yang mana kami telah sediakan perbagai program menarik termasuk solat terawikh, tazkerah, iftar perdana, qiamulail dsbnya. Semua ini seperti kita maklum memerlukan dana. Saya menyeru kaum muslimin semua untuk sama-sama menimarahkan surau dan tidak lupa menyumbang kepada dana surau moga-moga segala program yang dirancang dapat berjalan lancar.

Sekian wassalam

Jumpa anda semua di Surau Al-Muttaqin. Selamat berpuasa!

Dr.Md Roslan Hashim
Pengerusi Surau Al-Muttaqin





Menghormati Jiran Itu Tanda Beriman

30 06 2009

kejiranan

Salam,

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah kepada sebagai rahmat kepada sekelian alam. Ini bermakna segala masalah hidup akan dapat diselesaikan oleh Islam. Secara ringkas Islam datang untuk mengatur kehidupan manusia. Manusia pula jarang hidup bersendirian. Mereka memerlukan rakan2 dan sahabat serta jiran-jiran supaya mereka tidak akan merasa kesunyian.

Ada sesetengah orang mengatakan dia boleh hidup tanpa jiran. Tetapi ketahuilah Barat adalah contoh terbaik bahawa manusia tidak boleh lepas dari memerlukan jiran untuk kesejahteraan hidup. Rakyat dinegara maju barat telah dilaporkan ramai yang membunuh diri. Ini mengejutkan banyak pihak kerana apa yang tidak ada dalam hidup mereka? Mereka mempunyai kekayaan dan kesenangan yang melimpah ruah. Tetapi masyarakat barat diketahui mengamalkan cara hidup yang bersifat keakuan. Mereka boleh hidup sebelah menyebelah tanpa mengenali jiran mereka. Malah mereka merasakan tidak perlu kepada jiran. Golongan ini akhirnya mengambil keputusan untuk membunuh diri kerana tekanan hidup hasil dari kekosongan jiwa. Bila mendapat berita ini kita bersyukur hidup sebagai muslim yang diajar dalam al-quran serta melalui Nabi s.a.w bahawa kita wajib menghormati dan bertegur sapa dengan jiran walaupun mereka berlainan agama daripada kita. Hinggakan dalam salah satu haids Nabi s.a.w. memberi amaran bahawa baginda tidak mengaku umat sesiapa yang menyakiti jiran hatta yang berlainan agama.

Dalam kitab Hadith 40 Imam Nawawi di dalam Hadith yang ke-15 bermaksud:-

Dari Abu Hurayrah radiyallahu ‘anh bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan jirannya. Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia muliakan tamunya. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Oleh itu saya sebagai pengerusi surau al-muttaqin menyeru kepada semua penduduk untuk sama-sama mengambil iktibar dari hadis ini bagi mewujudkan suasana harmonis dikalangan penduduk. Lebih cantik lagi jika kita sama-sama dapat menjadikan surau sebagai medan untuk menyuburkan kasih sayang dan persaudaraan antara sesama kita dengan mengunjungi surau terutama diwaktu solat 5 waktu sehari semalam dan juga melalui program-program pengisian yang dirancangkan oleh AJK surau dari masa ke semasa.

Sekian wassalam
Dr.Md Roslan Hashim
Pengerusi Surau Al-Muttaqin





Kata-Kata Aluan Pengerusi

16 04 2009

dr-roslanAssalamualaikum,

Segala puji Tuhan sekelian alam. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, sahabat-sahabat baginda dan ahli keluarga baginda.

Saya selaku pengerusi Surau amat bersyukur dengan wujudnya blog ini yang merupakan salah satu kaedah untuk berhubung dengan ahli qariah, penduduk setempat dan juga penduduk Malaysia serta seluruh dunia amnya tidak kira muslim atau non-muslim.

Alhamdulillah dengan terlantiknya barisan AJK yang baru bermesyuarat pada bulan Mac 2009 lepas, saya menyeru semua AJK untuk bergerak cergas memikul tanggungjawab merencanakan pelbagai program untuk mengimarahkan surau yang kita cintai dengan pelbagai program pengisian untuk penduduk Islam dan juga bukan Islam insyaAllah. Kerana hidup atau matinya sesebuah surau akan terletak pada program-program yang akan meningkatkan taqwa dan iman umat Islam dan merapatkan silaturrahim dikalangan ahli qariah. Tiada guna kita mempunyai surau yang indah tetapi sepi dari segi pengisian program yang bermanfaat. Meningkatnya bilangan ahli jemaah dalam solat wajib 5 waktu adalah antara beberapa kayu ukur yang penting yang menunjukkan keberkesanan kewujudan sesebuah surau.

Akhir kata saya menyeru semua ahli qariah untuk turut serta menjayakan program-program yang kita rancangkan sepanjang tahun 2009, insyaALlah.

Sekian wassalamualaikum warahmatullah

Dr. Md Roslan Hashim
Pengerusi Surau Al-Muttaqin





Kutipan Mengisi Tabung Surau

30 03 2009

banner_derma

Kepada: Ahli Qariyah Surau Al-Muttaqin,
Bandar Putra Bertam, Kepala Batas Pulau Pinang

Daripada:Prof. Madya Md Roslan Hashim.
Pengerusi Surau Al-Muttaqin, Bandar Putra Bertam

Tuan/Puan,

Assalamualaikum,

Per: Memohon sumbangan tahunan bagi mengimarahkan Surau Al-Muttaqin

Banyak program yang telah dirancang untuk tahun 2009 oleh AJK yang baru dilantik dalam mesyuarat agong ke-3 baru-baru ini. Oleh itu tahun ini AJK telah menetapkan bahawa bayaran mimima seisi rumah ialah RM10.00. Oleh itu adalah diharapkan dengan sumbangan ihklas tuan/puan dapat merialisasikan segala perancangan pihak surau dengan pelbagai program yang dirancangkan.

Kita merasa bersyukur kerana ditakdirkan Allah mempunya surau yang cantik serta strategik kedudukannya. Tetapi semua ini tidak bermakna jika surau tidak diisi dengan pelbagai program yang membawa manfaat kepada semua penduduk Bandar Putra Bertam. Perlaksanaan program sudah tentu memerlukan dana. Maka saya dengan rendah hati memohon segala jasa baik tuan/puan untuk menghulurkan sumbangan tuan/puan kepada pihak pengurusan surau sebelum 15 April 2009. Pihak AJK mengalu-alukan jika tuan/puan sudi menyumbang lebih dari jumlah minima tersebut.

Tuan/puan bolehlah menyerahkan wang sumbangan  kepada jiran terdekat yang nama-nama mereka tersenarai di bawah ataupon mereka akan ke rumah tuan/puan bagi memungut wang sumbangan. (Terdapat AJK dilantik bagi memungut sumbangan bagi setiap lorong). Mereka ini merupakan AJK yang baru dilantik untuk penggal 2009-2011 :

  1. Prof Madya Md Roslan Hashim
  2. Dr. Sajap Maswan
  3. Hj Redzual Md Akhir
  4. En. Mohammad Rosli Soid
  5. En. Jamaludin Nayan
  6. En. Nik Mohd Huzaidi Nik Hassan
  7. En. Ahmad Sirhan Osman
  8. En. Rohidi Yusuf
  9. Hj Mohd Ilias Omar
  10. En. Fairul Hasnizam Mustaffa
  11. Hj Andul Hamid Ramlee
  12. En. Mohammad Shahrudin Rashid Ali
  13. En. Jalil Abd Rahman
  14. En. Ishak Osman
  15. En. Yusuf Ahmad
  16. En. Mohd Zam-Zam Khairani
  17. En. Abdul Shukur Shamsuddin
  18. En. Mohd Rodzi Ahmad
  19. En. Mohd Basir Abdullah
  20. En. Mohd Tahir Abd Halim
  21. En. Mohd Ridzuan Abd Aziz
  22. Ust. Mohd Yusuf Ahmad
  23. En. Saad Saleh
  24. Pn. Noriah Bakar
  25. Pn. Azlina Marzuki
  26. Pn Siti Qhalijah Abd Rashid
  27. Pn. Nik Rafidah Nik Abdul Rahman

Segala sumbangan ihklas tuan/puan saya sudahi dengan ucapan jutaan terima kasih. Moga Allah melimpahkan keberkatan di atas usaha kita.

Yang menjalankan amanah,

Prof. Madya Md Roslan Hashim








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.